Sunday, September 18, 2011

Perangkap Kad Kredit


Perangkap kad kredit
Oleh Alzahrin Alias
zahrin@bharian.com.my
2011/09/17

Ir Sofian : dipetik dari Berita Harian On Line

Bayaran minimum, urus niaga tak sah jerat pengguna berhutang lebih lama 

JIKA anda hanya membuat bayaran minimum, anda akan mengambil tempoh yang lebih lama untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan lebih banyak hutang akan terkumpul.
Dengan kadar faedah yang tinggi, anda membayar lebih kepada pengeluar kad kredit jika dibandingkan dengan harga asal barangan atau perkhidmatan yang anda peroleh dulu.
Jadual berikut menunjukkan tempoh bayaran balik dan jumlah faedah yang dikenakan pada kadar maksimum jika anda hanya membuat bayaran minimum 5 peratus setiap bulan.

-----------------------------------------------------------------------------
Baki belum jelas RM 1000 RM 5000 RM 10,000
-------------------------------------------------------------------------------
Kadar faedah (tahunan) 17.5% 17.5% 17.5%
Tempoh bayaran (tahun) 2.0 5.8 7.3

Jumlah faedah dikenakan RM 191 RM 1,838 RM 3,897
--------------------------------------------------------------------------------

Seperti jadual di atas, jika baki hutang RM 10,000 anda akan mengambil masa 7.3 tahun melangsaikan keseluruhan hutang itu. Anda juga terpaksa membayar RM 13,897 bagi jumlah asal RM10,000.

Adakah anda tahu cara melindungi daripada penipuan kad kredit? Antara penipuan kad kredit yang paling biasa adalah urus niaga tidak sah dan kecurian identiti.

Pengeluar kad kredit sentiasa berwaspada terhadap urus niaga palsu dan penipuan. Anda perlu juga mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Ketahui juga jenis kad yang lain selain kad kredit... Kad caj, seperti juga kad kredit anda boleh membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.

Beza di antara kad kredit dan kad caj adalah kad kredit membenarkan anda membuat pembayaran minimum manakala untuk kad caj, anda mesti membayar kesemua jumlah mengikut penyata bulanan. Jika tidak, caj bayaran lewat akan dikenakan.

Kad debit pula sama seperti kad kredit, anda boleh membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai tetapi had penggunaan tertakluk kepada baki di dalam akuan deposit anda.

Anda boleh menggunakan ia di tempat yang menerima kad tersebut. Jumlah yang dicajkan akan ditolak serta merta daripada akuan anda.

Jika anda mendapati anda selalu membayar jumlah minimum pada kad kredit, kami cadangkan supaya beralih kepada kad debit.

Kad prabayar, boleh digunakan untuk membuat pembelian tertakluk kepada had jumlah nilai wang yang anda masukkan di dalam kad tersebut.

Contohnya seperti kad prabayar telefon atau kad Touch’n Go. Apabila baki berkurangan, anda perlu menambah semula nilai kad anda.

Dengan pengetahuan ini, kami harap anda mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang apa yang perlu diketahui sebelum memohon dan menggunakan kad kredit dengan bijak.

Panduan penggunaan kad kredit secara bijak


·  Buat perbandingan terlebih dulu untuk mendapatkan kad kredit terbaik. Pilih kad memberi pengecualian yuran penyertaan dan yuran tahunan.


·  Membeli secara online hanya di laman web dipercayai.


·  Bayar sebelum tarikh akhir pembayaran bagi mengelak dikenakan caj bayaran lewat atau penalti.


·  Untuk mengelak dikenakan faedah, bayar baki belum jelas sepenuhnya apabila anda menerima penyata bulanan. Berwaspada kesan membayar jumlah minimum.


·  Jika anda menghadapi masalah aliran tunai, bayar jumlah minimum terlebih dulu dan berusaha menjelaskan bayaran sepenuhnya secepat mungkin.


·  Elak guna kad kredit jika anda tidak mampu membayar jumlah minimum bulanan!


·  Jangan guna kad kredit bagi mendapat pendahuluan wang tunai ATM. Ingat setiap kali anda menggunakan kad kredit mengeluarkan wang tunai, anda meningkatkan komitmen pinjaman selain dikenakan yuran pendahuluan wang tunai dan faedah harian.


·  Hadkan bilangan kad kredit berdasarkan keperluan dan kemampuan pembayaran anda (disarankan maksimum dua kad saja).

Rumusan

·  Kad kredit seharusnya digunakan sebagai kaedah pembayaran secara elektronik bagi menggantikan penggunaan wang tunai.

·  Kad kredit tidak harus digunakan sebagai alat mendapat kredit mudah.

·  Sentiasa jelaskan kesemua baki kad kredit tepat pada masanya.

·  Dengan hanya membuat bayaran minimum ke atas kad kredit, anda akan menanggung kos faedah yang lebih banyak (akibat kesan faedah kompaun)

·  Baca dan fahami semua terma dan syarat sebelum menggunakan kad kredit anda.

·  Sentiasa menjaga kad kredit dan semak butiran transaksi anda

No comments:

Post a Comment