Perangkap kad kredit
Oleh Alzahrin Alias
zahrin@bharian.com.my
2011/09/17
Ir Sofian : dipetik dari Berita Harian On Line
Bayaran minimum, urus niaga tak sah jerat pengguna berhutang lebih lama
JIKA anda hanya membuat bayaran minimum, anda akan mengambil tempoh yang lebih
lama untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan lebih banyak hutang akan
terkumpul.
Dengan kadar faedah yang tinggi, anda membayar lebih kepada pengeluar
kad kredit jika dibandingkan dengan harga asal barangan atau perkhidmatan yang
anda peroleh dulu.
Jadual berikut menunjukkan tempoh bayaran balik dan jumlah faedah yang
dikenakan pada kadar maksimum jika anda hanya membuat bayaran minimum 5 peratus
setiap bulan.
-----------------------------------------------------------------------------
Baki belum jelas RM 1000 RM 5000 RM 10,000
-------------------------------------------------------------------------------
Kadar faedah (tahunan) 17.5% 17.5% 17.5%
Tempoh bayaran (tahun) 2.0 5.8 7.3
Jumlah faedah dikenakan RM 191 RM 1,838 RM 3,897
--------------------------------------------------------------------------------
Seperti jadual di atas, jika baki hutang RM 10,000 anda akan mengambil masa 7.3
tahun melangsaikan keseluruhan hutang itu. Anda juga terpaksa membayar RM
13,897 bagi jumlah asal RM10,000.
Adakah anda tahu cara melindungi daripada penipuan kad kredit? Antara penipuan
kad kredit yang paling biasa adalah urus niaga tidak sah dan kecurian identiti.
Pengeluar kad kredit sentiasa berwaspada terhadap urus niaga palsu dan
penipuan. Anda perlu juga mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan
risiko menjadi mangsa penipuan.
Ketahui juga jenis kad yang lain selain kad kredit... Kad caj, seperti juga kad
kredit anda boleh membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa
menggunakan wang tunai.
Beza di antara kad kredit dan kad caj adalah kad kredit membenarkan anda
membuat pembayaran minimum manakala untuk kad caj, anda mesti membayar kesemua
jumlah mengikut penyata bulanan. Jika tidak, caj bayaran lewat akan dikenakan.
Kad debit pula sama seperti kad kredit, anda boleh membeli barangan dan
mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai tetapi had penggunaan
tertakluk kepada baki di dalam akuan deposit anda.
Anda boleh menggunakan ia di tempat yang menerima kad tersebut. Jumlah yang
dicajkan akan ditolak serta merta daripada akuan anda.
Jika anda mendapati anda selalu membayar jumlah minimum pada kad kredit, kami
cadangkan supaya beralih kepada kad debit.
Kad prabayar, boleh digunakan untuk membuat pembelian tertakluk kepada had
jumlah nilai wang yang anda masukkan di dalam kad tersebut.
Contohnya seperti kad prabayar telefon atau kad Touch’n Go. Apabila baki
berkurangan, anda perlu menambah semula nilai kad anda.
Dengan pengetahuan ini, kami harap anda mempunyai pemahaman yang lebih baik
tentang apa yang perlu diketahui sebelum memohon dan menggunakan kad kredit
dengan bijak.
Panduan penggunaan kad kredit secara bijak
·
Buat perbandingan terlebih dulu untuk mendapatkan kad kredit terbaik.
Pilih kad memberi pengecualian yuran penyertaan dan yuran tahunan.
·
Membeli secara online hanya di laman web dipercayai.
·
Bayar sebelum tarikh akhir pembayaran bagi mengelak dikenakan caj
bayaran lewat atau penalti.
·
Untuk mengelak dikenakan faedah, bayar baki belum jelas sepenuhnya
apabila anda menerima penyata bulanan. Berwaspada kesan membayar jumlah
minimum.
·
Jika anda menghadapi masalah aliran tunai, bayar jumlah minimum terlebih
dulu dan berusaha menjelaskan bayaran sepenuhnya secepat mungkin.
·
Elak guna kad kredit jika anda tidak mampu membayar jumlah minimum
bulanan!
·
Jangan guna kad kredit bagi mendapat pendahuluan wang tunai ATM. Ingat
setiap kali anda menggunakan kad kredit mengeluarkan wang tunai, anda
meningkatkan komitmen pinjaman selain dikenakan yuran pendahuluan wang tunai
dan faedah harian.
·
Hadkan bilangan kad kredit berdasarkan keperluan dan kemampuan
pembayaran anda (disarankan maksimum dua kad saja).
Rumusan
·
Kad kredit seharusnya digunakan sebagai kaedah pembayaran secara
elektronik bagi menggantikan penggunaan wang tunai.
·
Kad kredit tidak harus digunakan sebagai alat mendapat kredit mudah.
·
Sentiasa jelaskan kesemua baki kad kredit tepat pada masanya.
·
Dengan hanya membuat bayaran minimum ke atas kad kredit, anda akan
menanggung kos faedah yang lebih banyak (akibat kesan faedah kompaun)
·
Baca dan fahami semua terma dan syarat sebelum menggunakan kad kredit
anda.
· Sentiasa menjaga kad kredit dan semak butiran
transaksi anda